Zoom Ramadhan Larut, Perak

 TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN ZOOM RAMADAN PERINGKAT LARUT

DI TKT 2, BANGUNAN UMNO LARUT,

LARUT, PERAK

22 SEPTEMBER 2008

 

_______________________________________________________

 

 

Tetamu-tetamu kehormat

 

Wakil-wakil media

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana di atas limpah kurniaNya jua maka kita dapat dipertemukan pada Majlis hari ini.

 

1.      Saya ingin mengalu-alukan kedatangan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin sekalian kerana kehadiran anda semua  memberi sokongan padu menyemarakkan lagi semangat di antara perpaduan ummah dan rakyat (khususnya masyarakat dan rakyat Larut ). Terima kasih juga kepada UMNO Bahagian Larut  atas semangat kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan Majlis hari ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

2.    Kementerian Pelancongan memang sentiasa berusaha untuk menonjolkan keunikan dan kepelbagaian mengenai Malaysia yang boleh dijadikan sebagai daya tarikan kepada pelancong asing.

 

3.    Untuk pengetahuan anda semua, Kementerian Pelancongan sedang berusaha membangunkan produk pelancongan ibadah bagi menarik pelancong-pelancong asing dan tempatan melalui program-program agama seperti ibadah puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

 

4.    Seperti yang anda semua sedia maklum, pihak Kementerian baru baru ini telah melancarkan program Zoom Ramadan bagi mengketengahkan program agama seperti majlis berbuka puasa dan forum agama sebagai tarikan pelancongan ibadah kepada  para pelancong.

 

5.     Sesungguhnya, saya melihat program Zoom Ramadan ini sebagai satu produk pelancongan yang amat unik kerana aktiviti dan suasana kemeriahan bulan Ramadan di Malaysia ini sedikit berbeza dengan negara-negara lain. Sebagai contohnya kita mempunyai keunikan pasar-pasar Ramadhan yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa dan barangan menarik khususnya untuk sambutan Aidilfitri yang boleh menarik pelancong. Selain itu, Zoom Ramadan juga merupakan kesinambungan kepada promosi Zoom! Malaysia yang mana acara pada hari ini memfokuskan kepada elemen Bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan ibadah.

 

6.    Ini adalah kerana pelancongan ibadah telah menjadi semakin popular di seluruh dunia dan kini turut dirasai oleh Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkenal. Kebijaksanaan untuk kita mengambil kesempatan dari kunjungan inilah yang perlu kita gunakan bagi mempromosikan dan memajukan industri pelancongan Negara.

 

7.     Malah bukan itu sahaja, sebagai negara Islam yang berbilang bangsa dan agama, Malaysia boleh dikunjungi pada bila-bila masa dengan tarikan yang tersendiri termasuklah sambutan kebudayaan dan perayaan yang pelbagai dalam setahun.

 

8.    Saya percaya pelancongan ibadah akan dapat memberi banyak manfaat kepada Malaysia. Sebagai negara Islam, kita sebenarnya mempunyai banyak produk-produk yang boleh menarik minat pelancong bukan sahaja yang beragama Islam tetapi juga mereka yang berlainan agama.

 

9.    Selain itu, aktiviti-aktiviti masyarakat Islam yang lain seperti majlis perkahwinan, berkhatan, ibadah puasa dan bersahur, sambutan Hari Raya Aidilfitri, ibadah korban, sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya berpotensi besar untuk dipromosikan sebagai pelancongan ibadah. Ini adalah kerana aktiviti sebegini bukan sahaja memperlihatkan keindahan Islam kepada para pelancong asing malah dapat menyemai kecintaaan yang mendalam terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam itu sendiri.

 

 

 

 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

10.                        Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk sama-sama berganding bahu bagi memastikan kejayaan dalam membangunkan pelancongan ibadah ini.

 

11.  Ini adalah kerana fungsi dan tanggungjawab memajukan industri pelancongan negara tidak terletak pada bahu Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia sahaja. Semua pihak iaitu agensi-agensi kerajaan dan swasta, pihak media, pertubuhan bukan kerajaan dan paling penting sekali segenap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing.

 

12.Saya menyeru kepada anda semua untuk sama-sama menggembeling tenaga bagi memantapkan lagi sektor pelancongan di daerah Larut ini. Setiap negeri perlu memasarkan dirinya secara agresif sebagai sebuah destinasi pelancongan dengan membangunkan kekayaan khazanah dan keunikan sumber-sumber negara yang sedia ada iaitu warisan alam semulajadi, sosio-budaya yang pelbagai corak dan warisan sejarah yang unik.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

13.Justeru itu, kerjasama dari tuan-tuan dan puan-puan amatlah penting sekali bagi memastikan industri pelancongan negara terus berkembang maju. Saya percaya sekiranya kita bekerja sebagai satu pasukan yang mantap, saya berasa optimistik bahawa Malaysia mampu untuk mengekalkan kedudukannya sebagai tarikan yang utama di rantau ini.

 

14.Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.                                                                                                                                                                                                                                             

 

Kehadiran dan penyertaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian di dalam majlis ini amat besar ertinya kerana ia menunjukkan keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan terhadap industri pelancongan negara dan keinginan serta inisiatif untuk bersama-sama meningkatkan lagi prestasi industri pelancongan kita.

 

Beramal budi tidaklah jemu,

Berkat turun tak sudah-sudah,

Pelancong ramai mereka tetamu,

Melayan tetamu itu ibadah.

 

Sekian.

Terima kasih.


%d bloggers like this: