World Travel Market London 2008

NOTA PERCAKAPAN

YB MENTERI PELANCONGAN

PADA MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA PELAJAR MALAYSIA BERSEMPENA KEHADIRAN

YB MENTERI PELANCONGAN

DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

KE WORLD TRAVEL MARKET 2008

&

MESYUARAT KETIGA MENTERI-MENTERI PELANCONGAN KOMANWEL

 

11 NOVEMBER 2008

SATAY HOUSE, LONDON

 

 

PENDAHULUAN

 

      1.            Saya ingin merakamkan penghargaan serta mengalu-alukan para pelajar yang hadir pada Majlis Makan Malam ini.

 

    2.            Saya juga ingin memaklumkan Majlis ini diadakan bersempena dengan kehadiran rombongan kami ke London bagi menghadiri Misi Galakan Pelancongan bersempena dengan penyertaan Malaysia dalam World Travel Market 2008, 10 – 13 November 2008 serta Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelancongan Komanwel, 11 – 12 November 2008.

 

    3.            Ia juga bertujuan untuk mewujudkan satu hubungan sihat dan mesra antara para pelajar Malaysia di United Kingdom dengan pemimpin serta kakitangan kerajaan bagi mendapatkan kerjasama para pelajar ini untuk membantu negara dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada warga negara British.

 

ISU-ISU YANG DIBANGKITAKAN

 

    4.            Golongan pelajar adalah merupakan generasi pelapis yang bakal menentukan hala tuju pembangunan negara pada masa hadapan. Pelajar masa ini akan mewarisi negara pada masa hadapan oleh itu perlu memastikan mempunyai jatidiri dan semangat untuk meneruskan perjuangan yang terdahulu.

 

     5.            Pihak Kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional senantiasa menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dalam dasar kerajaan.  Oleh yang demikian, pihak Kerajaan tidak teragak-agak mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membantu pelajar-pelajar yang cemerlang dan layak untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dengan harapan golongan ini dapat bersama-sama dengan kerajaan membangunkan negara.

 

    6.            Peluang belajar di luar negara adalah nikmat daripada kemakmuran dan kemajuan negara.  Sebagai bangsa yang bermaruah, kestabilan dan kesejahteraan negara perlu dijadikan keutamaan sebagai balasan ke atas anugerah dan peluang yang diberikan.  Sesungguhnya inilah balasan yang terbaik diminta Kerajaan kepada para pelajar, kerana sesebuah kerajaan tidak akan berdiri dengan sendiri tanpa sokongan padu rakyat jelata.

 

 

DUTA KECIL PELANCONGAN MALAYSIA

 

     7.            Di samping menimba ilmu, golongan pelajar di luar negara juga adalah merupakan Duta Kecil yang membawa imej negara.

 

    8.            Promosi pelancongan negara bukan hanya dijalankan oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja, tetapi penglibatan semua pihak terutamanya pelajar Malaysia di luar negara amat penting.  

 

    9.            Promosi pelancongan tidak terletak pada risalah-risalah pelancongan sahaja, tetapi imej dan peribadi pelajar Malaysia di luar negara menjadi modal terbaik bagi mendorong orang asing mengenali Malaysia seterusnya datang melancong ke Malaysia.

 

10.            Keindahan alam semula jadi dan keunikan budaya bangsa masyarakat Malaysia adalah merupakan aset utama dalam menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia.

 

  11.            Kejayaan industri pelancongan tidak hanya boleh diukur berdasarkan bilangan pelancong yang mengunjungi negara. Sebaliknya, ia harus dinilai berdasarkan jumlah aliran masuk mata wang asing ke dalam negara.

 

 

 

12.            Justeru, antara objektif strategik Kementerian Pelancongan adalah untuk menarik kedatangan pelancong yang berkualiti untuk tinggal lebih lama dan berbelanja lebih ketika berada di Malaysia.

 

13.            Sehubungan itu, produk-produk pelancongan khusus (niche product) dan minat khas (special interest) telah dikenal pasti untuk diketengahkan dalam program pemasaran pelancongan negara. Antaranya adalah seperti:

 

a.     Pelancongan Eko

b.    Pelancongan Agro

c.     Pelancongan Sukan

d.     Pelancongan Kesihatan

e.     Program Homestay

f.       Program Malaysia Rumah Kedua Ku

 

14.            Oleh yang demikian, saya menyeru agar saudara-saudari sekalian yang hadir pada malam ini untuk turut sama membantu Kerajaan mempromosikan pelancongan kepada rakan sepengajian serta kenalan tuan-tuan sekalian melalui pendekatan-pendekatan seperti:

 

a.     Mempromosi keunikan dan kepelbagaian makanan Malaysia

b.    Menceritakan keindahan suasana alam semula jadi di Malaysia serta keunikannya

c.     Memaklumkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi

d.     Percutian ke Malaysia menjanjikan sesuatu yang value for money berdasarkan kelebihan tukaran wang asing dari Pound ke Ringgit Malaysia

e.     Menunjukkan perilaku dan teladan yang baik yang mencerminkan keramahan dan kelembutan budaya timur yang menjadi amalan masyarakat di Malaysia

 

 15.            Sehubungan dengan itu, peri pentingnya para pelajar bersama-sama dengan kerajaan sedia ada menjaga nama baik negara serta melakukan perkara-perkara yang boleh mengharumkan nama negara. Oleh itu, janganlah para pelajar mencampuri kegiatan subversif atau aktiviti memburukkan kerajaan, kerana secara tidak langsung akan menjejaskan imej negara di samping memberi peluang kepada pihak asing untuk menjatuhkan nama baik dan mencampuri urusan negara.

 

16.            Semangat kenegaraan perlu disemai di setiap sanubari para pelajar bagi menjadi menyemai sikap positif dalam bersama-sama membangunkan negara.   Semangat kebangsaan inilah yang akan menjadi tunjang jati diri bangsa yang bersatu teguh dan menjadi pelindung kepada cubaan menggugat kestabilan dan kesejahteraan negara.

 

 17.            Kerajaan tidak akan sekali-kali mengabaikan kebajikan rakyatnya, Oleh itu,  marilah bersama-sama dengan kerajaan mempromosikan pelancongan negara.  Hala tuju dan matlamat kerajaan adalah satu, menjadikan pelancongan alternatif sumber ekonomi negara bagi membolehkan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.


%d bloggers like this: