PERHIMPUNAN BULANAN

UCAPAN

YB. DATO’  SRI AZALINA DATO’  OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN

KEMENTERIAN PELANCONGAN MALAYSIA

 

PERHIMPUNAN BULANAN

KEMENTERIAN PELANCONGAN MALAYSIA

28 OGOS 2008 (KHAMIS) – 3.30 PETANG

MATIC, JALAN AMPANG

 

 

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

 

Alhamdulillah, kita telah pun melalui ¾ tahun 2008 dengan pelbagai aktiviti Kementerian dengan jaya dan penuh gilang-gemilang.  Dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, kita bakal melengkapkan tahun 2008 dan melangkah pula ke tahun 2009 di mana saya yakin lebih banyak cabaran yang perlu kita lalui dalam usaha memajukan sektor pelancongan negara. 

Banyak yang telah saya perkatakan tentang integriti sebelum ini dan saya suka mengingatkan sekali lagi kepada semua tentang kepentingan integriti dalam perkhidmatan, khasnya di Kementerian Pelancongan.

 

Dalam era dunia tanpa sempadan dan arus globalisasi yang semakin mencabar, kadang-kala memaksa kita melakukan perkara-perkara yang tidak beretika yang boleh menggugat sistem penyampaian dan keberkesanan perkhidmatan. Ada yang terlibat dengan rasuah, hasad dengki, penyelewengan, salah guna kuasa dan lain-lain lagi.  Saya sangat berharap perkara-perkara tidak baik tersebut tidak diamalkan di Kementerian ini. 

 

Saya menyarankan warga Kementerian Pelancongan agar tidak mudah terjebak dengan godaan kehidupan yang datang bersama-sama gelombang cabaran dunia hari ini.  Marilah kita sama-sama menjalankan tugas dengan penuh integriti demi untuk kesejahteraan dan kemajuan  bukan sahaja Kementerian kita ini, malahan juga negara Malaysia secara keseluruhannya.

 

Dari Utara datang berkereta

          Singgah mari mencari teman

          31 Ogos hari Merdeka

          Perpaduan rakyat teras kejayaan

 

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, dalam masa beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-51.  Kemerdekaan amat bermakna kepada kita dan negara.  Kedaulatan dan kemakmuran negara terus terlindung dan terpelihara kerana kemerdekaan yang kita kecapi 51 tahun yang lalu.  Sambutan pada tahun ini akan diadakan di Dataran Merdeka, secara sederhana, tetapi tetap dengan penuh semangat dan kemeriahan. Tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu, Perpaduan Teras Kejayaan jelas menunjukkan bahawa dalam usaha mencapai  kejayaan adalah penting untuk kita sentiasa bersatu padu.

 

Saya amat percaya dan yakin, sekiranya tidak wujud perpaduan dikalangan rakyat yang berbilang kaum di negara kita amnya dan di Kementerian Pelancongan khasnya, kemajuan dan kejayaan sudah pasti tidak akan dapat dikecapi.

Saya berharap agar warga Kementerian ini akan sentiasa mengamalkan sikap bersatu padu dan bekerjasama diantara satu sama lain dalam menjalankan tugas-tugas seharian.  Saya yakin dengan perpaduan dikalangan kita, Kementerian Pelancongan akan berjaya mencapai objektifnya dan dapat menempuhi cabaran-cabaran yang kian hari sememangnya semakin mencabar.

 

Selepas sambutan Hari Kemerdekaan, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan.  Dalam menjalani ibadah berpuasa sudah tentu banyak cabaran yang akan kita lalui.  Antaranya kita perlu meningkatkan tahap kesabaran, mengurangkan kata-kata yang kurang berfaedah, mengurangkan pergerakan fizikal dan lain-lain.  Walaupun banyak cabaran yang perlu dihadapi, namun, kita warga Kementerian Pelancongan akan tetap meneruskan perjuangan menjalankan tanggungjawab untuk mengekalkan prestasi pelancongan negara.

 

Janganlah kerana berpuasa mutu kerja kita menurun.  Kita tidak boleh menjadikan bulan puasa ini sebagai alasan untuk tidak meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.  Saya yakin warga Kementerian ini akan kekal cergas dan produktif sepanjang bulan Ramadan ini.  Selamat berpuasa kepada semua umat Islam di Kementerian ini.  Sama-samalah kita mengerjakan ibadah puasa dan dalam masa yang sama terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.   Saya akhiri dengan serangkap pantun:

 

          Dari jauh ternampak hiba

          Penat berjalan menempuh paya

          Awal Ramadan menjelang tiba

          Teruskan usaha negara jaya


%d bloggers like this: