Perhimpunan Bulanan ke-2

UCAPAN

YB. DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN

KEMENTERIAN PELANCONGAN MALAYSIA

 

PERHIMPUNAN BULANAN

KEMENTERIAN PELANCONGAN MALAYSIA

11 SEPTEMBER 2008 (KHAMIS) – 5.00 PETANG

MTC, JALAN AMPANG

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

 

1.   Bersyukur kita ke hadrat Allah S. W. T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa warga Kementerian Pelancongan Malaysia pada hari ini.

2.   Amalan berbuka puasa secara beramai-ramai ini sesuatu yang sangat baik kerana bukan sahaja kita dapat berkongsi rezeki semasa berbuka, malahan kita juga berpeluang mengeratkan hubungan sesama kita.  Saya yakin dengan majlis sebegini akan dapat mengukuhkan ikatan perpaduan dan kesatuan dikalangan warga Kementerian Pelancongan.

 

3.   Hari ini hari ke-11 kita berpuasa. Dalam menjalani ibadah berpuasa sudah tentu banyak cabaran yang kita lalui.    Walaupun banyak cabaran yang perlu dihadapi, namun, kita warga Kementerian Pelancongan akan tetap meneruskan perjuangan menjalankan tanggungjawab untuk mengekalkan prestasi pelancongan negara.

 

4.   Janganlah kerana berpuasa mutu kerja kita menurun.  Kita tidak boleh menjadikan bulan puasa ini sebagai alasan untuk tidak meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.

 

 

 

Tuan-tuan dan Puan -puan

5.   Alhamdulillah, kita telah pun melalui ¾ tahun 2008 dengan pelbagai aktiviti Kementerian dengan jaya dan penuh gilang-gemilang.  Dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, kita bakal melengkapkan tahun 2008 dan melangkah pula ke tahun 2009 di mana saya yakin lebih banyak cabaran yang perlu kita lalui dalam usaha memajukan sektor pelancongan negara. 

 

6.   Banyak yang telah saya perkatakan tentang integriti sebelum ini dan saya suka mengingatkan sekali lagi kepada semua tentang kepentingan integriti dalam perkhidmatan, khasnya di Kementerian Pelancongan.

 

7.   Dalam era dunia tanpa sempadan dan arus globalisasi yang semakin mencabar, kadang-kala memaksa kita melakukan perkara-perkara yang tidak beretika yang boleh menggugat sistem penyampaian dan keberkesanan perkhidmatan.

 

8.   Saya menyarankan warga Kementerian Pelancongan agar tidak mudah terjebak dengan godaan kehidupan yang datang bersama-sama gelombang cabaran dunia hari ini. Saya menyeru warga Kementerian Pelancongan Malaysia mengambil kesempatan bulan yang mulia ini untuk bermuhasabah diri dan membaiki segala kekurangan. Marilah kita sama-sama menjalankan tugas dengan penuh integriti demi untuk kesejahteraan dan kemajuan  bukan sahaja Kementerian kita ini, malahan juga negara Malaysia secara keseluruhannya.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

9.   Seperti yang kita sedia maklum, YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah pun membentangkan belanjawan bagi tahun 2009 di Dewan Rakyat pada 29 Ogos baru-baru ini.  Saya percaya ramai yang gembira menonton dan mendengar pembentangan belanjawan tersebut kerana bonus satu bulan gaji atau minimum RM1000.00 akan diberi kepada semua kakitangan awam.  Sudah tentu pemberian bonus ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan kewangan semasa musim perayaan nanti.

 

10.               Bertemakan ’Kerajaan Prihatin’, Belanjawan 2009 jelas menampakkan keprihatinan Kerajaan terhadap semua aspek dalam negara dan ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

 

Saya yakin warga Kementerian ini akan kekal cergas dan produktif sepanjang bulan ini.

 

Dengan itu, saya ingin mengucapkan `Selamat Berpuasa` kepada semua umat Islam.  Marilah kita sama-sama mengerjakan ibadah puasa dan dalam masa yang sama terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan keikhlasan. 

 

Saya akhiri dengan serangkap pantun:

          Dari jauh ternampak hiba,

          Penat berjalan menempuh paya,

          Pertengahan Ramadan menjelang tiba,

          Teruskan usaha negara jaya.


%d bloggers like this: