PELANCARAN MAJLIS PELANCONGAN PELAJAR FELDA SEMENCHU, KOTA TINGGI

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

PELANCARAN MAJLIS PELANCONGAN PELAJAR

FELDA SEMENCHU, KOTA TINGGI, JOHOR

12 OKTOBER 2008 – 10.00 AM

 

YB Dato’ Razali bin Ismail,

Timbalan Menteri Pelajaran.

 

YBhg Tan Sri Dr Zulkarnain bin Hj Awang,

KSU Kementerian Pelajaran.

 

YBhg Dato’ Dr Ong Hong Peng,

KSU Kementerian Pelancongan.

 

YBhg Dato’ Hj Ab Ghaffar A Tambi,

Timbalan KSU, Kementerian Pelancongan.

 

YBhg Dato’ Hj Alimuddin bin Hj Mohd Dom,

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

 

YB Datuk Hj Maulizan bin Bujang,

Exco Pelajaran Negeri, Johor.

 

YB Encik Hoo Seong Chang,

Exco Pelancongan Negeri, Johor.

 

YBhg Dr Junaida Lee Abdullah,

Timbalan KSU, Kementerian Pelancongan.

 

YBhg Encik Amiruddin bin Abu,

Pemangku KP, Tourism Malaysia.

 

Setiausaha-Setiusaha bahagian Kementerian Pelajaran

dan Kementerian Pelancongan.

 

Pengarah-Pengarah Bahagian  dan Negeri Tourism Malaysia.

 

Peserta-peserta Homestay Felda Semenchu.

 

Peserta-Peserta Karnival Program Pelancongan Pelajar.

 

Wakil-wakil media.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan.

 

 

          Tanjong Balau pantainya indah

                   Tempat berkelah orang muda

          Dari Perlis hingga ke Sabah

                   Semenchu juga tempat berjumpa”

 

 

Bersyukur saya kehadrat Allah kerana dengan limpahan rahmat dan kurnianya dapat kita berkumpul beramai-ramai di sini untuk bersama-sama menjayakan program Karnival Pelancongan Pelajar (3P).  Terima kasih diucapkan kepada YAB Menteri Besar Johor dan YB Timbalan Menteri Pelajaran kerana sudi hadir ke majlis kita, hari ini.

 

2.      Saya rasa belum terlambat lagi bagi saya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua peserta dan tetamu yang hadir pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya mewakili negeri masing-masing  menyertai 3P ke Peringkat Kebangsaan di Semenchu pada hari ini.

 

3.      Program 3P di adakan bagi mendedahkan pelajar dan generasi muda kepada industri pelancongan dan seterusnya semangat cintakan tanah air.   Dalam jangka panjang pengetahuan yang di baja ini akan membantu mengukuhkan perkembangan ekonomi negara dan mengurangkan aliran wang tunai ke luar negara.

 

4.      Pengetahuan terhadap tempat-tempat bersejarah akan membolehkan pelajar-pelajar memahami sejarah tanah air dan kelahiran tanah tumpah darah mereka.  Kebudayaan yang berbeza di antara negeri dan tempat-tempat yang di lawati akan membantu mereka memahami budaya yang berlainan, justeru iniakan meningkatkan lagi persefahaman dan perpaduan antara kaum di negera kita

 

5.       Program ini juga dapat mengisi masa lapang pelajar dengan kegiatan berfaedah sesama sendiri.  Secara tidak langsung ini akan dapat mengelakkan pelajar dari terjerumus ke kegiatan yang tidak berfaedah dan membuang masa.  Pelajar-pelajar seharusnya dididik menjadi generasi bermaklumat sebagai persediaan untuk mengambil alih tonggak kepeimpinan negara di masa depan.

 

6.                Saya menyeru pelajar-pelajar untuk mengambil kesempatan ini untuk menimba pengetahun. Program 3P merupakan saluran paling mudah bagi pelajar-pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan. Pengetahuan berhubung perbezaan budaya, kepercayaan, bahasa, kemajuan dan amalan di antara satu tempat ke satu tempat yang lain akan menjadikan kita lebih berpengalaman.  Ilmu dan pengetahuan yang di timba boleh di manafaatkan untuk kepentingan negara khusus dalam industri pelancongan di dalam dan luar negara.

 

7.                 Pelajar-pelajar juga akan didedahkan kepada aktiviti kerja berkumpulan.  Aktiviti ini dipupuk diperingkat awal lagi.  Kenangan dan pengalaman yang diperolehi boleh dijadikan asas kepada pelajar untuk mengenali diri masing-masing dan sesama sendiri.  Ini akan membolehkan pelajar-pelajar berkenalan diantara satu sama lain di samping melahirkan semangat bekerjasama.   Perpaduan yang wujud akan mengukuhkan lagi negara kita yang harmoni.

 

8.                Dalam jangka panjang,  aktiviti yang dijalankan berupaya melahirkan satu generasi bermaklumat, memahami dan menghormati antara satu sama lain.  Justeru itu,  hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pelancongan terunggul di rantau ini akan tercapai.

 

9.                Semua aktiviti, prasarana, perkhidmatan penyampaian pelancongan yang berkesan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara akan menjadi sia-sia sekiranya rakyat tidak berpengetahuan dan kucar kacir.  Kerajaan akan terus memastikan Industri pelancongan menjadi salah satu industri yang terpenting dalam menyumbang ekonomi negara ini.

 

10.            Dalam tahun 2007, industri pelancongan telah menyumbang RM 46 billion dengan sejumlah 20.1 juta pelancong melawat negara kita.  Industri ini menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara selepas industri pembuatan. Pada tahun ini kita mensasarkan negara akan menerima sebanyak 22.5 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM  50.2  billion.

 

11.              Dalam pelancongan, kerajaan juga akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan industri homestay dan ekopelancongan.  Tempat tinggal pelajar-pelajar sekarang semasa menyertai program ini merupakan tempat industri homestay yang terbaik.  Gunakanlah kesempatan ini untuk beramah mesra dan mengenali masyarakat Semenchu di samping berkenalan di antara satu sama lain.

 

12.            Justeru itu, saya berharap program ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya khusus dalam meningkatkan kesedaran tentang industri pelancongan  dan seterusnya memupuk semangat cintakan tanah air.

 

13.            Akhirkata , saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, Kerajaan Negeri Johor, dan semua pihak yang terlibat kerana sudi menjayakan program ini.  Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB MB Johor, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, kerana sudi hadir ke majlis ini.

 

          «Bermaaf-maafan sesama kita

                   Di Hari Raya kita bermesra

          Dari jauh datang berkereta

                   Karnival 3P akan bermula »

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Program Karnival Pelancongan Pelajar 2008

 

Sekian


%d bloggers like this: