MAJLIS PERASMIAN STESEN RADIO PELANCONGAN DAN MUZIK TRAXXFM

DRAF

UCAPAN OLEH

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN, MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN STESEN RADIO PELANCONGAN DAN MUZIK TRAXXFM

                                               MTC, JALAN AMPANG, KL

8.00 MALAM, 10 JULAI, 2008

 

(Salutasi)

 

Wakil-wakil Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu, ingin saya melahirkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan  izin Nya dapat kita bersama pada malam ini menjayakan Majlis Perasmian Stesen Radio Pelancongan Traxxfm.

 

2.       George Eastman ada menyatakan: ”What we do during our working hours determines what we have, what we do in our leisure hours determines what we are.” Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Kementerian Penerangan kerana mengadakan sebuah stesyen radio khusus untuk pelancongan. Ia merupakan satu kemudahan bagi para pelancong asing dan tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang produk dan acara  pelancongan.

 

3        Traxxfm akan menjadi pelengkap kepada aktiviti promosi pelancongan. Kewujudannya  akan memberi manfaatkan dalam memajukan lagi industri pelancongan negara. Ia membolehkan kita mendidik rakyat supaya bersikap “Think Tourism dan Act Tourism” di samping menimbulkan rasa cinta terhadap negara sendiri.

 

4.       Saya berharap perkongsian yang terjalin di antara Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan akan mendapat sokongan padu dari semua pihak yang telibat dengan industri pelancongan terutamanya sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Stesyen radio ini sentiasa memerlukan maklumat terkini dalam dan luar negara. Oleh yang demikian input dan maklum balas daripada para pengusaha produk adalah penting bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

5.       Pada tahun 2007, negara kita telah dikunjungi oleh 20.1 juta pelancong dan memberi hasil sebanyak RM 46,094 billion. Justeru itu, saya merasakan bahawa kehadiran radio pelancongan ini amat bertepatan sekali dalam usaha kerajaan untuk menjayakan  Kempen Pelancongan Zoom! Malaysia dan seterusnya membantu kerajaan menambah jumlah kedatangan pelancong dan pendapatan negara untuk mencapai sasaran 22.1 juta pelancong dengan pulangan hasil sebanyak RM 50.3 billion pada tahun ini.

 

6.       Saya amat berharap supaya TraXXfm menjadi media penyaluran  maklumat mengenai kempen Zoom! Malaysia bagi pemahaman rakyat termasuk pakej-pakej percutian domestik XCAPE Holidays yang merupakan kesinambungan daripada Kempen Zoom! Malaysia.

 

7.       Sesebuah stesen radio itu dan para juruhebahnya mampu untuk mempengaruhi masyarakat untuk menjadi pendengar setia program mereka. Saya yakin para juruhebah yang unggul di TraXXfm akan berjaya mendekati para pendengar melalui penyampaian yang menarik berserta program-program yang penuh informasi tetapi kreatif dan menghiburkan.  Kementerian berharap supaya para pendengar remaja akan berminat untuk menjadikan pelancongan sebagai sebahagian daripada budaya hidup mereka.

 

7.       Saya percaya Traxxfm akan mengendalikan temuramah dengan pelancong dalam segmen khas.  Dari sini, kerajaan boleh mendapatkan maklumbalas dan pandangan dari pelancong yang mengunjungi negara kita bagi tujuan penambah baikkan perkhidmatan dan industri pelacongan negara.

 

8.       Segmen-segmen lain seperti hebahan maklumat, masakan, destinasi, homestay, eco pelancongan dan seumpamanya yang akan disiarkan selama 12 jam setiap hari juga diharap akan dapat membantu kerajaan dalam menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

 

9.       Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan syabas sekali lagi kepada Kementerian Penerangan serta pegawai-pegawainya merintis untuk menjayakan program bersama bagi menghasilkan radio pelancongan dan muzik yang akan setia menyampaikan acara-acara dan promosi-promosi pelancongan terkini sama ada di dalam mahu pun di luar negeri.

 

 

Terima kasih.


%d bloggers like this: