Majlis Perasmian Penajaan Akhbar Utusan

DRAF UCAPAN OLEH

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN, MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENAJAAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BAGI SEKOLAH-SEKOLAH DI KAWASAN PARLIMEN PENGERANG

BULATAN DESARU, JOHOR

10.00 PAGI, 29 JUN, 2008

 

(Salutasi)

 

Wakil-wakil Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmatNya, maka kita dapat bersama-sama pada pagi ini untuk menjayakan Majlis Perasmian Penajaan Akhbar Utusan Malaysia Bagi Sekolah-Sekolah di Kawasan Parlimen Pengerang.

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Utusan di atas usaha dan inisiatif melaksanakan program pengedaran akhbar Utusan Malaysia kepada para pelajar sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Pengerang ini.

 

Sesungguhnya warga pelajar harus mengembangkan ilmu pengetahuan untuk mampu bersaing dalam dunia global. Selain menelaah buku-buku pelajaran, anda juga mestilah memperkayakan diri dengan berita-berita semasa dan peristiwa-peristiwa yang berlaku bukan sahaja di negara ini malah juga di seluruh dunia. Saya tidak mahu lagi ada istilah seperti ”katak di bawah tempurung” di kalangan para pelajar.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian:

Sebagai Menteri Pelancongan Malaysia, saya mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan pelancongan pelajar di kalangan warga pelajar dan guru sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Pengerang ini.

 

Untuk makluman anda, pelancongan pelajar telah lama dipraktikkan di negara-negara maju bertujuan untuk memupuk kemahiran berfikir dan memperolehi pengetahuan melalui pengalaman. Di Malaysia, program pelancongan pelajar telah dilancarkan pada 24 Februari 2001 oleh Menteri Pelancongan Malaysia bersama dengan Menteri Pendidikan Malaysia.

 

Saya ingin menekankan di sini bahawa matlamat utama program ini diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menyemarakkan aktiviti-aktiviti pelancongan di kalangan para pelajar terutamanya dalam sektor pelancongan domestik demi memupuk budaya melancong dalam negara sendiri.

 

Pelancongan pelajar juga membuka ruang kepada pelajar untuk melancong sambil belajar. Di samping itu, ia boleh melahirkan generasi muda yang berbudaya melancong dan berpengetahuan luas tentang sejarah, adat resam, budaya dan khazanah alam semula jadi negara.

 

Selain itu, aktiviti-aktiviti pelancongan dan pengembaraan terancang seperti eko pelancongan dapat memupuk semangat setia kawan dan integrasi kaum kerana aktiviti sebegini memerlukan kerjasama kumpulan. Namun begitu, pelancongan pelajar akan menjadi lebih bermakna sekiranya ia dapat mencetuskan budaya yang menjurus kepada kesedaran tentang tanggungjawab terhadap kepentingan ekologi dan penjagaan alam sekitar dan kecintaan kepada negara.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian:

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjayakan program ini termasuklah mengadakan acara tahunan seperti kuiz pelancongan pelajar peringkat negeri dan kebangsaan. Saya difahamkan bahawa pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan pada 12 hingga 15 Oktober tahun ini.

 

Selain itu, kelab pelancongan turut ditubuhkan di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara yang mana ia berfungsi sebagai pusat penyaluran maklumat mengenai aktiviti 3P di Kementerian kepada para pelajar. Saya difahamkan sehingga kini terdapat sebanyak 1,344 kelab pelancongan yang telah berjaya ditubuhkan. 

 

Kementerian Pelancongan turut menganjurkan seminar-seminar kepada guru dan pelajar sekolah di seluruh negara bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai faedah yang boleh diperolehi daripada aktiviti pelancongan dan rekreasi di samping menanam budaya melancong selain mengelakkan golongan pelajar daripada terlibat dengan gejala negatif.

 

Malah, kementerian kami juga ada menganjurkan lawatan sambil belajar untuk sekolah-sekolah terpilih dari seluruh negara. Mereka akan dibawa ke destinasi-destinasi percutian yang menarik dan dibawa tinggal di homestay untuk merasai sendiri pengalaman bercuti yang unik itu. Dalam hal ini, kami mendapat kerjasama yang erat dari Majlis Tindakan Pelancong Negeri (MTPN) dan Pejabat-pejabat Pelajaran daerah.

 

Sementara itu, sumbangan seperti risalah-risalah pelancongan dan cakera padat kepada kelab-kelab pelancongan telah dilaksanakan oleh kerajaan supaya para pelajar sentiasa mendapat informasi tentang perkembangan industri pelancongan di dalam negeri terutamanya produk-produk pelancongan terkini.

 

Ini adalah kerana secara tidak langsung, para pelajar juga boleh bertindak sebagai duta kecil negara terutamanya mereka yang menyambung pelajaran di luar negara.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian:

Saya amat berharap bahawa program pelancongan pelajar ini dapat dititikberatkan oleh pihak sekolah terutamanya di kawasan Parlimen Pengerang ini. Bak kata pepatah ” Tak Kenal Maka Tak Cinta”, sekiranya anda semua tidak mengambil peluang melancong dan mengenali negara sendiri maka bagaimana anda mahu menyayanginya. Melancong itu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi untuk anda belajar menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan anda.

 

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan syabas sekali lagi kepada Kumpulan Utusan kerana keikhlasan mereka menaja untuk para pelajar sekolah-sekolah di Parlimen Pengerang ini.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Penajaan Akhbar Utusan Malaysia Bagi Sekolah-Sekolah di Kawasan Parlimen Pengerang ini.

 

Sekian, terima kasih.


%d bloggers like this: