MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGONG KOPERASI PENEROKA FELDA KELEDANG BERHAD KALI -24

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN MALAYSIA

PADA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGONG

KOPERASI  PENEROKA FELDA KELEDANG BERHAD KALI -24

 

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

(Salutations)

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat dan keizinanNya dapat kita bersama-sama menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Koperasi Peneroka Felda Bhd kali ke 24 ini.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah kerana sudi menjemput saya untuk hadir dan seterusnya merasmikan mesyuarat ini.

Para hadirin sekelian;

                     Masalah pemilikan geran tanah oleh para peneroka yang masih belum selesai, perkara ini telah di maklumkan kepada Felda untuk mempercepatkan proses penyerahan geran tanah tersebut.

                     Berbanding dengan pekebun kecil lain, peneroka Felda mempunyai kelebihan tersendiri. Peneroka Felda mempunyai “pendapatan tetap yang terjamin”. Malah rancangan Felda menjadi “modul” kepada negara-negara luar sebagai salah satu usaha untuk membasmi kemiskinan.

 

                     Ini adalah di antara usaha kerajaan Barisan Nasional untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi bangsa Melayu. Tanah rancangan Felda adalah hasil pemikiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebagai usaha untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu. Sasaran utama ialah meningkatkan taraf hidup orang Melayu supaya tidak ketinggalan dalam bidang ekonomi.

                     Hari ini, formula Allahyarham Tun Abdul Razak menunjukkan hasilnya. Ada peneroka Felda yang sudah bergelar “jutawan”. Kenaikan harga kelapa sawit di pasaran dunia meningkatkan taraf hidup peneroka Felda.

                     Bagaimanapun harus diingat pepatah Melayu beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Dengan kenaikan kos hidup pada masa ini amalan berhemah dalam berbelanja mesti menjadi amalan hidup kita.

                     Kenaikan kos bahan bakar, petrol dan diesel adalah satu fenomena global yang tidak dapat dielakkan. Kerajaan tidak boleh terus memberikan subsidi petrol dan diesel kerana sumber yang terhad. Pengagihan subsidi mesti diutamakan kepada bahan makanan utama – beras dan tepung misalnya.

                     Pada masa yang sama kemudahan prasarana untuk rakyat, terutama di luar bandar mesti diteruskan. Kerajaan “tidak akan menganiyai” rakyat. Di kawasan-kawasan Felda misalnya, pembangunan diteruskan bagi memastikan “kesejahteraan” rakyat.

                     Sebagai ahli parlimen, saya akan memastikan pembangunan untuk peneroka di kawasan ini tidak ketinggalan. Saya telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan peneroka khususnya di Felda Kledang, sebagai contoh peruntukkan sebanyak RM 30,000.00 bagi membaik-pulih Surau Kledang.

                     Bagaimanapun masyarakat peneroka harus bijak mengambil peluang dan mengunakan kemudahan yang telah di berikan. Peruntukan sebanyak RM 100,000.00 telah diberikan untuk membangunkan pasar awam di Gugusan Adela, misalnya telah pun siap dibangunkan, tetapi sehingga ke hari ini ia masih lagi tidak beroperasi.

Akhir kata sebelum saya merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Felda Bhd, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun

                                      Merah bersinar si bunga raya

                                                Lambang rasmi bunga negara

Peneroka Felda hidup berjaya

                                                Tanda Malaysia makmur sejahtera

         

Dengan lafaz BISMILLAHIRAHMANIRAHIM saya merasmikan mesyuarat agong KOPERASI FELDA KELEDANG BHD. Sekian, terima kasih.


%d bloggers like this: