Majlis Pelancaran Percutian Xcape

UCAPAN

YB DATO’SERI AZALINA DATO’OTHMAN

MENTERI PELANCONGAN MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PERCUTIAN ’XCAPE’

DI DESARU, JOHOR

28 JUN 2008, JAM 10.30 PAGI

 

 

 

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam Sejahtera

 

 

Salutasi

 

 

1.           Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan restu dan limpahNya dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran ”Percutian XCAPE” pada pagi ini.

2.           Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada wakil-wakil media dan para hadirin sekalian kerana sudi untuk bersama-sama hadir di majlis ini.

3.           Kehadiran para hadirin sekalian amat bermakna sekali kepada Kementerian Pelancongan – sebagai tanda sokongan kepada kerajaan terutama di dalam usaha Kementerian Pelancongan memajukan lagi industri pelancongan, khususnya pelancongan domestik.

 

Para hadirin sekelian;

4.           Tahun 2007 telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan bagi industri pelancongan negara. Jumlah ketibaan pelancong asing bagi tahun lalu adalah seramai 20.97 juta, iaitu peningkatan sebanyak 19.5 peratus dari tahun sebelumnya. Ini telah memberi sumbangan sebanyak RM44.50 billion dari aliran masuk wang ke negara kita.

5.           Bagaimanapun, di dalam keghairahan kementerian dan Tourism Malaysia menjalankan pelbagai promosi untuk menarik pelancongan asing ke negara ini, kepentingan pasaran domesik tidak pernah diabaikan.

6.           Pada hakikatnya rakyat Malaysia sendiri adalah merupakan pasaran besar dan terdekat bagi industri pelancongan. Ini merupakan satu pasaran yang berpotensi serta perlu diberikan fokus yang lebih.

7.           Contohnya; berdasarkan statistik hotel yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan Tourism Malaysia, jumlah pelancong tempatan yang menginap di hotel telah meningkat sebanyak 13.65% dari tahun sebelumnya, sehingga 36.25 juta pada tahun 2007. Ini adalah satu petanda yang sangat memberangsangkan dan berpotensi baik dalam pasaran domestik kita.

8.           Isu kenaikan harga minyak yang dihadapi pada masa ini, sebenarnya memberikan lebih ruang dan peluang, untuk rakyat Malaysia melancong di dalam negara.  Selain dari tawaran harga yang menarik, melancong di dalam negeri sendiri adalah lebih menjimatkan di samping mengurangkan aliran wang keluar negara.

9.           Negara kita mempunyai khazanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati dan diterokai. Justeru, rebutlah peluang ini bagi kita sama-sama menghargai warisan negara yang tidak ternilai ini.

10.        Seiring dengan kempen ZOOM! Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia telah merangka satu mekanisme yang dinamakan ”Percutian XCAPE”  khusus bertujuan mempromosikan pakej-pakej pelancongan yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha pelancongan.

11.        ”Percutian XCAPE” menawarkan pelbagai pilihan    percutian; iaitu  Bercuti (Escape), menerokai (Explore ) dan pengalaman (experience).

12.        Kempen ini bertindak sebagai ”call for action” yang akan merangkumi penawaran perkhidmatan yang baik dengan harga yang berpatutan bagi menggalakkan percutian dalam negara.

Para hadirin Sekalian,

13.        Kempen “Percutian XCAPE” ini juga dijangka dapat menggalakkan rakyat Malaysia melancong secara “lebih terancang”. Ia akan bertindak sebagai pemangkin bagi memacu keinginan rakyat Malaysia menikmati  keseronokan bercuti melalui pelbagai destinasi yang dipromosikan.

14.        Dalam usaha untuk memajukan industri pelancongan domestik ini, saya juga ingin memastikan manfaat daripada industri ini dapat dinikmati oleh rakyat tempatan, khususnya bagi penduduk luar bandar. Bagi merealisasikan hal ini, kementerian akan melipatganda lagi usaha bagi memajukan program-program homestay.

15.        ”Percutian XCAPE” akan mempromosikan homestay secara lebih tersusun serta memberikan lebih daya penarik meliputi aktiviti serta tawaran harga yang berpatutan.

16.        Melalui kempen ”Percutian XCAPE” ini juga Kementerian akan  mempromosikan lebih banyak pakej-pakej pelancongan melibatkan tempat-tempat tarikan pelancongan yang kurang dilawati selama ini.

17.        Kadangkala; sesetengah tempat itu hanya dikenali oleh pelancong asing berbanding rakyat negara kita sendiri.

Para hadirin sekelian;

18.        Sekali lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para jemputan di atas kesudian untuk hadir dimajlis pelancaran ”Percutian XCAPE” ini. Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada ’industry players’ dan rakan-rakan media di atas kehadiran pada majlis ini.

19.        Akhir kata sebelum saya mengakhiri ucapan saya; izinkan saya menyampaikan serangkap pantun :

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik gagah berdiri

Mari bercuti di Malaysia indah

Nikmati kecantikan tempat sendiri

 

20.        Dengan lafaz BISMILLAHIRAHMANIRAHIM saya dengan sukacitanya melancarkan kempen PERCUTIAN XCAPE. Sekian, wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.


%d bloggers like this: