Kempen Zoom Media Prima

UCAPAN OLEH

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN, MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

ZOOM! MALAYSIA DI MEDIA PRIMA

SRI PENTAS, TV3, BANDAR UTAMA

8.30 PAGI, 4 NOVEMBER, 2008

 

 

(Salutasi)

 

Wakil-wakil Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu, sukalah saya melahirkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia dan izinnya, maka dapat kita bersama-sama pada pagi ini untuk menjayakan Majlis Pelancaran ”Kempen Zoom! Malaysia di Media Prima”.

 

Saya mengucapkan terima kasih kepada Media Prima atas kerjasama yang diberikan kepada Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia untuk mempromosi Zoom! Malaysia melalui TV3 dan 8TV.

 

Seperti yang kita semua sedia maklum, YAB Perdana Menteri  telah melancarkan kempen promosi pelancongan domestik Zoom! Malaysia pada 14 Mei yang lalu. Kempen ini bertujuan meningkatkan profil pelancongan domestik menjadi lebih dinamik, ceria dan aktif dalam membangunkan ekonomi negara. Apa yang paling penting, Zoom! Malaysia mengenegahkan satu identiti unik mengenai destinasi-destinasi pelancongan untuk menggalakkan budaya bercuti di negara kita sendiri.

 

Perkongsian pintar ini dengan Media Prima, merupakan usaha berterusan Kementerian Pelancongan untuk memperkukuhkan lagi kesedaran orang ramai terhadap kempen Zoom! Malaysia. Ianya dijangka akan menimbulkan minat para penonton untuk mengetahui lebih lanjut mengenai destinasi-destinasi pelancongan terbaru dan seterusnya mencetuskan keinginan untuk bercuti ke tempat-tempat  tersebut. Saya difahamkan jumlah penonton Buletin Utama sahaja telah menjangkau 3.8 juta orang.

 

Sesungguhnya, peranan televisyen masa kini yang menggunakan pendekatan yang lebih personal untuk mendekati isi rumah di seluruh negara akan dapat membantu para penonton mengenali dan memahami Malaysia dan keunikannya dengan lebih terperinci. Apatah lagi, siaran TV3 juga boleh ditonton secara online yang mana siaran beritanya boleh ditonton di seluruh dunia.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian:

 

Kempen Zoom! Malaysia melalui TV3 dan 8TV dijalankan dari 04 November 2008 hingga Januari 2008 dan  merangkumi :

 

·        ”Live –reads” semasa Bulletin Utama berserta 

·        ”Teaser advertisement” ; dan

·        2-Minute Capsule sebanyak 26 episod

 

Kempen ini mengenegahkan destinasi-destinasi baru dan juga Jualan Jimat Malaysia 2008 yang dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober.

 

Destinasi-destinasi dipilih daripada semua negeri, termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang mempunyai tarikan keindahan semula jadi tersendiri, yang masih belum lagi dikenali ramai, seperti Gua Kelam di Perlis dan Santubong di Sarawak.

 

Oleh itu, saya yakin dengan adanya pendekatan ini, ”Kempen Zoom! Malaysia di Media Prima”  akan dapat membantu memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada pelbagai produk tempatan dan menyerlahkan lagi sektor pelancongan domestik.    

 

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Media Prima atas sokongan padu  terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh Kerajaan bagi memajukan industri pelancongan negara terutamanya pelancongan domestik. Sememangnya program seperti ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh Kementerian saya tanpa kerjasama daripada  rakan-rakan yang lain. 

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya  dengan sukacitanya merasmikan ”Kempen Zoom! Malaysia di Media Prima”.


%d bloggers like this: