Kempen Zoom Cameron Highland

UCAPAN OLEH

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN, MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN ZOOM! CAMERON HIGHLANDS

STESYEN MARDI, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS

3.00 PETANG, 5 NOVEMBER, 2008

 

 

 

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

 

 

Mengadap Kebawah Duli Yang TerAmat Mulia (KDYTM) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Mustain Billah, DK., SSAP., SIMP., DK (Terengganu)., DK (Johor)., SPMJ. (tidak perlu di sebut semasa berucap)

 

Mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tengku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Iskandar Al Haj., Dk., Dk(Johor)., SPMJ. (tidak perlu di sebut semasa berucap)

 

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun

Sembah Patik Mohon di Ampun

 

Patik mengangkat sembah menjunjung  kasih di atas limpah perkenan KDYTM Tuanku berangkat mencemar Duli bersama-sama DYTM Tengku Puan Pahang ke Majlis Pelancaran Zoom! Cameron Highlands ini. Keberangkatan KDYTM Tuanku berdua ke Majlis Pelancaran ini sesungguhnya membuktikan sokongan padu dan keperihatinan Ke Bawah Duli Tuanku terhadap program ini. 

 

Patik memohon izin perkenan KDYTM Tuanku untuk patik berucap kepada para hadirin sekalian.

 

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun

Sembah Patik Mohon di Ampun

(Salutasi)

 

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmatNya, maka kita dapat bersama-sama pada petang yang indah ini untuk menjayakan Majlis Pelancaran Zoom! Cameron Highlands.

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi hadir di majlis ini. Penganjuran majlis pada hari ini bertujuan untuk memberi fokus kepada Cameron Highlands sebagai sebuah destinasi pelancongan terpilih. Ia juga adalah sejajar dengan tujuan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan seterusnya menanamkan budaya melancong di dalam negeri di kalangan rakyat Malaysia. Sudah sampai masanya, rakyat negara ini menghargai dan  menikmati keindahan dan keunikan produk-produk pelancongan yang terdapat di negara sendiri.

 

Seperti yang kita semua sedia maklum, YAB Perdana Menteri  telah melancarkan kempen promosi pelancongan domestik Zoom! Malaysia pada 14 Mei yang lalu. Kempen ini bertujuan meningkatkan profil pelancongan domestik dengan menjadikannya lebih dinamik dan ceria serta menyumbang secara aktif dalam membangunkan ekonomi negara. Apa yang paling penting, Zoom! Malaysia mengketengahkan satu identiti unik mengenai destinasi-destinasi pelancongan untuk menggalakkan budaya bercuti secara terancang di negara kita sendiri.

 

Kerajaan telah mengambil tindakan yang agresif untuk membangunkan kekayaan khazanah dan keunikan sumber-sumber negara yang sedia ada seperti warisan alam semula jadi, sosio-budaya yang pelbagai corak dan warisan sejarah yang unik untuk meningkatkan minat rakyat tempatan untuk melancong di dalam negara sendiri.

 

Kempen Zoom! Malaysia telah dipromosi dengan giatnya melalui pelancaran di beberapa peringkat negeri yang mengkhususkan kepada destinasi-destinasi pelancongan yang lebih fokus seperti Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah di Pahang, Muzium Tentera Darat Negeri Sembilan, Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang dan Desaru di Johor.

 

Selain itu, kami juga telah mengadakan kerjasama dengan Media Prima bagi menggunakan pendekatan iklan yang berkonsepkan ”live-read” di stesen-stesen televisyen milik Media Prima bagi meluaskan lagi publisiti mengenai pelbagai pakej-pakej  pelancongan domestik ini di kalangan rakyat tempatan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Negeri Pahang amat bertuah sekali kerana dianugerahkan dengan keindahan alam semulajadi yang indah dan pelbagai serta terkenal di seluruh dunia seperti Taman Negara Pahang, Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah, Fraser’s Hill, Bukit Tinggi, Genting Highlands, Taman Negeri Endau Rompin, Pantai Cherating dan Teluk Chempedak.

 

Cameron Highlands pula merupakan antara pusat percutian tanah tinggi yang terkenal di seluruh negara dan turut menjadi tarikan kepada para pelancong asing. Bukan sahaja cuaca sejuknya yang menjadi tarikan tetapi produk-produk pelancongan yang terdapat di sini juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti ladang-ladang teh, taman-taman bunga (Rose Valley, Cactus Point, Rose Centre), kebun-kebun sayuran, taman rama-rama, kebun-kebun strawberi dan program homestay.

 

Sesungguhnya pemilihan Stesen Mardi sebagai tapak pelancaran Zoom! Cameron Highlands adalah kerana ia bukan sahaja sebuah stesen penyelidikan pertanian tanah tinggi yang terunggul di negara ini tetapi juga menawarkan taman dan kediaman berunsur Inggeris, taman ros, aktiviti penyelidikan, kilang teh tertua di negara ini dan koleksi pokok hawa sederhana yang tidak dijumpai di tempat-tempat lain di Malaysia ini. Stesen ini juga mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri kerana ia dibuka oleh kerajaan British pada tahun 1925 sebelum diambil alih oleh Jabatan Pertanian selepas merdeka dan MARDI pada tahun 1971.

 

Sukalah saya mengingatkan para hadirin sekalian bahawa apabila kita dianugerahkan keindahan alam semulajadi yang sebegitu rupa, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memeliharanya daripada tercemar mahu pun terabai. Pada masa yang sama, kita juga perlu menggunakan kelebihan yang kita ada untuk membantu meningkatkan pembangunan pelancongan negara.

 

Ianya sejajar dengan usaha Kerajaan dalam memastikan pembangunan pelancongan yang mampan diberikan keutamaan memandangkan pemulihan dan perlindungan habitat semula jadi dan alam sekitar menjadi semakin penting terutamanya dalam konteks pelancongan berhemah.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser), seramai 525,749 orang pelancong telah mengunjungi Cameron Highlands dari bulan Januari hingga September 2008, menyaksikan peningkatan sebanyak 71.89% berbanding 305,855 orang dalam tempoh yang sama pada tahun 2007. Jumlah pelancong domestik yang mengunjungi Cameron Highlands dari bulan Januari hingga September 2008 pula ialah seramai 335,799 orang.
 
Saya percaya Cameron Highlands akan terus menjadi pilihan para pelancong tempatan mahu pun pelancong asing kerana keunikan bentuk muka buminya dan produk-produk pelancongan yang ditawarkan lebih bersifat semulajadi. 
 
Saya yakin masih ramai rakyat Malaysia yang belum berkesempatan mengunjungi Cameron Highlands. Oleh yang demikian saya menyeru kepada rakyat tempatan supaya bercutilah ke Cameron Highlands kerana bak kata pepatah, ”Tak kenal maka tak cinta”. Sekiranya anda semua tidak mengambil peluang melancong dan mengenali negara sendiri maka bagaimana anda mahu menyayanginya. Melanconglah dan terokailah tempat-tempat menarik di Malaysia ini dan saya pasti kita semua akan dapat belajar sesuatu yang baru setiap kali kita pergi melancong. 
 

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun

Sembah Patik Mohon di Ampun

 

Demikianlah ucapan patik kepada para hadirin sekalian. Patik sekali lagi menjunjung kasih di atas limpah perkenan Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku berangkat mencemar duli ke Majlis Pelancaran Zoom! Cameron Highlands pada petang yang mulia ini.  

 

Sebelum patik mengakhiri persembahan ucapan patik, patik beserta rakyat jelata sekalian, sentiasa mendoakan semoga KDYTM Sultan Pahang, DYTM Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom, Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Yang Amat Mulia Putera-Puteri Paduka Anakanda serta Kaum Kerabat senantiasa dirahmati Allah S.W.T.

 

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun

Sembah Patik Mohon di Ampun

 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalammualaikum, Warahmatullahhi Wabarakatuh.


%d bloggers like this: