Kempen Mytaxi

UCAPAN

Y.B. DATO’ SRI AZALINA BINTI  DATO’ OTHMAN SAID

Menteri Pelancongan Malaysia

Untuk Kempen Mytaxi

Tempat:  Saloma Bistro & Restaurant

Tarikh dan Masa:  17 Jun 2008,  9:30 am

 

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum dan salam sejahtera

(Salutations)

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para hadirin sekelian terutama kepada pemandu teksi kerana meluangkan masa untuk hadir pada majlis pelancaran kempen My Taxi ini. Saya sedar bagi pemandu teksi setiap saat adalah wang dan berada di sini memakan masa dan wang tuan-tuan.

Oleh itu kesudian tuan-tuan untuk hadir pada majlis ini menandakan sokongan kepada usaha kementerian untuk meningkatkan lagi perkhidmatan pelancongan di Malaysia.

Seperti yang sering saya perkatakan, bagi Kementerian, antara tugasan yang paling penting ialah meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan bagi memastikan pertumbuhan sektor ini di negara kita.

Salah satu perkhidmatan yang penting kepada para pelancong adalah perkhidmatan teksi. Sebaik sahaja mendarat ke negara ini, di antara orang pertama yang berurusan dengan pelancong adalah pemandu teksi.

Imej pertama ini akan terus kekal di jiwa mereka. Jika perkhidmatan yang diberi adalah bermutu;  ia akan menggambarkan kemesraan kita terhadap mereka.

Bagaimanapun jika pengalaman pertama itu melibatkan teksi yang kotor, pemandu yang tidak berhemah serta tidak amanah, Malaysia terus tergambar dalam keadaan yang negatif dalam pemikiran para pelancong.

Pemandu teksi sepatutnya mesti berupaya menjamin “keselamatan” penumpang mereka dan memberikan perkhidmatan yang boleh diharapkan. Ini kerana pemandu teksi merupakan duta Malaysia kepada para pelancong dan adalah elemen utama dalam sektor pelancongan.

Para hadirin sekelian;

Di atas kesedaran ini, kementerian melancarkan kempen Mytaxi yang akan membantu pemandu teksi memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Kempen ini mempunyai lima teras utama. Ia akan memberikan panduan bagaimana untuk melayan pelancong supaya imej pemandu teksi Malaysia tinggi dan bersikap professional.

Lima teras utama yang perlu ada dalam setiap pemandu teksi ialah, berhemah, ramah, bersih, amanah dan berpengetahuan. Sikap-sikap ini akan membentuk pemandu teksi yang boleh ditermakan sebagai “tuan rumah yang dipercayai” atau trusted host.

Para hadirin sekelian;

Saya sedar dalam keadaan sekarang setiap pemandu teksi akan merasakan tekanan di atas kenaikan harga petrol. Bagaimanapun jika kita “menggunakan” pelancong sebagai “mangsa”, untuk mendapatkan keuntungan cepat, industri pelancongan negara akan terancam.

Kesannya ialah pertumbuhan negatif sektor pelancongan dan dalam jangka panjang akan memberi kesan kepada pemandu teksi.  

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian;

Saya percaya teras yang dinyatakan tadi bukanlah mustahil untuk diamalkan. Ada sesetengah negara yang melaksanakan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat kepada pemandu teksi daripada Malaysia. Ada sebuah negara di selatan Pasifik misalnya yang melarang pemandu teksi menyimpan janggut dan misai.

Bagaimanapun kita bukanlah “keterlaluan” dan pastinya tidak akan melaksanakan peraturan ini.

Kempen MyTaxi ini akan diadakan setiap Selasa selama lima minggu yang akan datang. Adalah menjadi harapan saya agar semua pemandu teksi dapat menyertai kempen ini.

Lima minggu yang akan datang ini juga merupakan tempoh kemuncak kehadiran pelancong-pelancong Arab dan Timor tengah. Saya mahu melihat kempen ini mewujudkan pengalaman yang indah dan keselesaan bagi mereka.

Akhir kata saya percaya pemandu-pemandu teksi akan memberikan kerjasama serta sokongan untuk menjayakan kempen ini demi melihat pertumbuhan besar sektor pelancongan. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun :

Hancur badan dikandung tanah

Budi baik membawa faedah;

Pemandu teksi berhemah amanah

Kekalkan imej Malaysia indah

Sekian wabilahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.


%d bloggers like this: