KEMPEN “ZOOM” PULAU PINANG

 TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

KEMPEN “ZOOM” PULAU PINANG

25 Ogos 2008

___________

 

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

 

 

Tetamu-tetamu kehormat

Ketua-ketua Jabatan Peringkat Persekutuan dan Negeri

Para Penggiat Industri Pelancongan ; serta

 

Wakil-wakil Media

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana restu dan limpahNya dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran “Zoom”  peringkat Pulau Pinang pada hari ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua agensi-agensi yang terlibat dalam usaha menjayakan majlis hari ini.

 

Para hadirin sekalian,

1.   Industri pelancongan Malaysia telah mencatatkan satu pencapaian yang memberangsangkan dan meletakkan industri ini sebagai industri kedua terbesar dalam sumbangan kepada ekonomi negara.

2.   Tahun ini, Kementerian Pelancongan menjangka seramai 22.5 juta pelancong akan datang ke negara kita dengan membawa RM52.2 billion. Setakat bulan Julai tahun ini kita telah pun berjaya menarik lebih 12.9 juta pelancong datang melawat Malaysia. Ini merupakan peningkatan  sebanyak 3.9 % kalau dibandingkan dengan tahun lepas.

3.   Namun demikian, ingin saya menegaskan bahawa usaha Kementerian Pelancongan bukan hanya untuk menarik pelancong luar, malah ia juga bertujuan memberi tumpuan bagi mempromosikan pelancongan tempatan atau domestic tourism.

4.   Justeru itu, Kempen Zoom! Malaysia yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan Mei lalu merupakan usaha utama demi menggalakkan rakyat Malaysia pergi melancong dan menikmati produk-produk pelancongan di negara sendiri.  

Tuan–tuan dan Puan–puan;

5.   Matlamat Kerajaan ialah untuk berusaha ke arah menukarkan minda (change the mindset) di kalangan rakyat Malaysia supaya mempunyai tanggapan bahawa percutian adalah sebenar-benarnya satu keperluan hidup harian. Ianya juga bertujuan untuk menerap nilai budaya melancong di samping menikmati keindahan tempat-tempat pelancongan di negara sendiri.

6.   Pada hakikatnya, rakyat Malaysia sendiri merupakan pasaran terdekat bagi industri pelancongan negara kita dan merupakan satu pasaran yang berpotensi besar yang perlu diberikan lebih fokus yang lebih.

7.   Pada masa yang sama, Kerajaan Barisan Nasional sentiasa prihatin terhadap ekonomi dan keperluan rakyat. Sebagaimana yang dimaklum, perkembangan ekonomi negara yang mampan bawah Kerajaan Barisan Nasional merupakan asas kepada kestabilan sosial dan politik negara. Justeru itu, setiap rakyat dari semua bidang dan kegiatan harus memberi kerjasama padu demi membina ekonomi yang mantap.

Para hadirin sekelian;

8.   Kementerian Pelancongan melalui Kempen Zoom! Malaysia,  akan memperkenalkan lebih banyak lagi produk-produk pelancongan yang menarik. Kempen ini akan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat tempatan, khususnya orang-orang kampung. Dalam perkara ini, kita akan melipatganda lagi usaha bagi memajukan program-program seperti homestay dengan memberi bantuan dan latihan yang bersesuaian.

9.    Pengiktirafan Bandaraya Georgetown sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada awal bulan Julai baru-baru ini sudah pasti meletakkan Negeri Pulau Pinang dalam peta pelancongan Warisan Dunia. Saya percaya usaha ini  bukan hanya akan menarik lebih ramai lagi pelancong ke pulau ini, malah ia juga akan melonjakkan sektor pelancongan di Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi.

10.     Justeru dengan pengitirafan seperti ini, saya pasti rakyat Pulau Pinang dapat menarik lebih ramai pelancong bagi melihat sendiri kekayaan warisan budaya negeri ini. Saya berharap Kerajaan Negeri tetap dengan janjinya untuk menambahbaik ciri-ciri warisan supaya Pulau Pinang terus kekal di dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Para hadirin sekelian;

11.     Saya yakin Kempen ZOOM! Malaysia akan menjadi pendorong ke arah meningkatkan perkembangan pelancongan domestik negara kita. Dengan itu, saya sekali lagi menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini untuk sama-sama berusaha memajukan industri pelancongan kita, kerana industri ini adalah penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara.

12.     Akhir kata, dengan lafaz `Bismillah Hirrahman Nir Rahim` saya dengan sukacitanya merasmikan Kempen Zoom Pulau Pinang.

Sekian, wabillahitaufiq wal hidayah wassalamualaikum wbt.


%d bloggers like this: