Jom Makan Durian

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN MALAYSIA

JOM MAKAN DURIAN @ THE GREAT DURIAN FESTIVAL PADA 09HB OGOS 2008, JAM 10.00 PAGI BERTEMPAT DI BUKIT GANTANG , TAIPING.

 

 

 

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum  Warahmatullahi

Wabarokatoh Dan Salam Sejahtera

 

(Salutasi)

 

Y.Bhg Dato’ Haji Mat Isa Bin Ismail

Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Perak.

 

Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Dan Persekutuan 

 

Wakil Dari Kementerian Pelancongan , Para Wartawan Media Cetak Dan Elektronik

 

  Para Wakil Daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo),

 

Persatuan Dan Syarikat Korporat Dan Swasta

 

 

Tuan – Tuan Puan-Puan Dan Para Hadirin Sekalian.

1.                  Pertama-tamanya bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat dan keizinanNya dapat kita bersama-sama menghadiri majlis ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan serta tahniah kepada Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Perak, terutama pengerusinya Ybhg Dato’ Haji Mat Isa Ismail di atas inisiatif yang telah dilaksanakan untuk menjayakan Jom Makan Durian @ The Great Durian Festival 2008 peringkat nasional  pada tahun ini.

2.                Usaha ini menggambarkan keprihatinan serta kesungguhan dalam usaha untuk mempromosikan serta memperkenalkan Bukit Gantang serta kawasan-kawasan berhampiran sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terdapat di negeri Perak Darul Ridzuan. Acara ini juga boleh dijadikan sebagai satu mekanisma untuk mempromosikan “homestay” yang terdapat di kawasan ini.

Hadirin sekelian;

3.                Saya difahamkan acara ini telah diadakan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2006.  Jika dilihat dari segi tarikannya, saya juga percaya acara ini boleh dinaiktarafkan lagi supaya menarik lebih ramai pengunjung dari luar negara.

4.                Sebagaimana yang kita tahu negeri Perak ini sememangnya terkenal dengan “raja segala buah” iaitu durian dan salah satu daripada pusat “pengeluaran” durian yang terbaik di Malaysia. Adalah tepat jika durian dijadikan sebagai salah satu tarikan utama bagi pelancongan ke negeri ini.

5.                 Durian juga dapat menwujudkan pelbagai makanan sampingan yang lain seperti pulut durian, cucur durian , dodol durian, kuih wajik durian, lempok, ais krim durian dan kini wujud pula jus durian . Dan industri ini akan terus berkembang selaras dengan industri lain yang telah sedia wujud di negara kita  ini .

6.                Di samping itu Perak juga sememang terkenal dengan industri kraftangan seperti labu sayong, tekat, industri pandai besi iaitu senjata tajam yang berasaskan besi seperti keris, parang, pisau, pedang dan lain-lain yang merupakan hasil turun -temurun dari nenek moyang kita. Hasil kraftangan yang bernilai tinggi seperti inilah yang haruslah  kita  dikekalkan supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

7.                 Dari segi statistiknya saya dimaklumkan terdapat peningkatan  dari segi kedatangan pelancong. Mengikut statistik; bagi tahun 2006, daripada 2.3 juta penginap hotel di negeri ini, seramai 617,761 adalah pelancong antarabangsa dan 1.9 juta lagi adalah pelancong domestik.

8.                Bagi tahun lepas pula Perak mencatatkan kehadiran 3 juta pelancong, dan 700,000 adalah pelancong antarabangsa.

9.                Bagaimanapun, saya percaya dengan adanya beberapa acara seperti seperti  Ipoh International Run,  Karnival Vespa, Sail Malaysia, Powerman Malaysia , The Outdoor Haven Motorcross Championship 2008 dan lain-lain lagi, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini akan meningkat lagi.

Tuan-tuan dan puan sekelian

10.            Bagi memajukan lagi industri pelancongan di negara ini,  Kementerian Pelancongan Malaysia menitikberatkan serta menekankan bidang-bidang lain yang berkaitan seperti  penganjuran kursus-kursus pelancongan, pembangunan  homestay serta pembangunan produk pelancongan di seluruh negara .

11.              Justeru itu Homestay Bukit Gantang ini juga,  tidak ketinggalan untuk menerima  peruntukan bagi membangunkan daerah ini.  Untuk makluman hadirin-hadirat sekalian, peruntukan sebanyak RM500,000 telahpun disediakan oleh pihak kerajaan dan projek ini telahpun siap sepenuhnya.

12.            Bagai kerja-kerja penyelenggaraan, sebanyak RM200,000 telah disalurkan untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur Homestay Bukit Gantang.

13.            Peruntukan ini meliputi kerja-kerja seperti membina replika buah-buahan, membina dataran untuk meletakan bas pelancongan, membina jalan bertar ke ladang Bukit gantang, membina dewan terbuka,  pemasangan tiang TNB, menaiktaraf kemudahan tandas dan  sistem pembetungan di rumah Homestay, membina pintu gerbang dan  membina sistem perparitan.

14.            Manakala jika dilihat,  melalui peruntukan projek pelancongan persekutuan, di bawah RMK-9, Kementerian Pelancongan telah menyalurkan RM74 juta untuk projek-projek pembangunan pelancongan di negeri ini.

15.             Peruntukan yang disebutkan tadi jelas menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganiaya atau menganak-tirikan negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang seperti yang dituduh oleh Pakatan Rakyat.

16.            Bagi saya, industri pelancongan adalah untuk rakyat kerana feadahnya dirasai terus oleh orang ramai. Ia semestinya menembusi kepentingan politik serta tidak harus dipolitikan seperti amalan kerajaan Pakatan Rakyat.

17.             Akhir kata,  sebelum saya akhiri ucapan saya ini izinkan saya berpantun :

                             Bunga raya berwarna merah

                                      Lambang negara tetap dijunjung

                             Perak indah penuh sejarah

                                       Semoga cemerlang menarik pelancong

Dengan lafaz BISMILLAHIRAHMANIRAHIM saya merasmikan acara “ The Great Durian Festival  2008 “.   Sekian, terima kasih. 


%d bloggers like this: