Desaru Seafood Nite

DRAF

UCAPAN OLEH

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID

MENTERI PELANCONGAN, MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL ZOOM! DESARU & SEAFOOD NITE 2008

TANJUNG BALAU, DESARU, JOHOR

8.00 MALAM, 12 JULAI, 2008

 

(Salutasi)

 

Wakil-wakil Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmatNya, maka kita dapat bersama-sama pada malam ini untuk menjayakan Majlis Perasmian Karnival Zoom! Desaru dan Desaru Seafood Nite 2008.

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi hadir di majlis ini. Karnival Zoom! Desaru dianjur bertujuan untuk memberi fokus kepada Desaru sebagai sebuah destinasi pelancongan terpilih.  Melalui penganjuran karnival ini, kita dapat menarik minat  dan perhatian media, pelancong luar dan dalam negeri serta juga penduduk setempat terhadap produk-produk pelancongan di Desaru.

 

Semoga penganjuran karnival ini akan juga menggalakkan penglibatan  penduduk setempat untuk terus menceburi dalam aktiviti yang boleh menggiatkan lagi industri pelancongan di sini agar hasilnya dapat dimanfaatkan bersama.  Sememangnya Johor juga tidak seharusnya ketinggalan dalam menjadikan pelancongan sebagai sebuah sektor utama dalam pembangunan ekonomi dan sosialnya.

 

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, mengikut Jabatan Imigresen Negeri,  seramai 23.9 juta pelawat asing telah melawat Johor pada tahun 2007, iaitu peningkatan sebanyak 17.6% berbanding tahun 2006. Walau pun angka ini merangkumi pelawat harian, ia merupakan pencapaian yang positif dan amat memberangsangkan dalam menjadikan negeri ini sebagai destinasi percutian yang berdaya saing. Namun, kita perlu tingkatkan usaha supaya para pelawat harian ini, bermalam dan tinggal lebih lama di  sini.  Ini merupakan satu cabaran kepada para pengusaha dan pihak berkuasa setempat untuk menjana pendapatan melalui pelancongan. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian:

Kerajaan  telah melancarkan kempen promosi pelancongan domestik Zoom! Malaysia. Ia dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri  pada 14 Mei yang lalu di Kuala Lumpur. Kempen ini bertujuan meningkatkan profil pelancongan domestik menjadi lebih dinamik, ceria dan aktif dalam membangunkan ekonomi negara. Apa yang paling penting, Zoom! Malaysia mengketengahkan satu identiti unik mengenai destinasi-destinasi pelancongan untuk menggalakkan budaya bercuti di negara kita sendiri.

 

Destinasi-destinasi terpilih ini telah dipakejkan dengan menariknya melalui Xcape Holidays. Pakej-pakej khas untuk percutian Homestay juga diperkenalkan. Dalam hal ini terdapat beberapa pakej khusus untuk Desaru.

Sukalah saya mengingatkan bahawa pada satu masa dahulu, Desaru merupakan antara destinasi pelancongan yang terpilih  di kalangan penduduk tempatan dan para pelancong dari luar negara terutamanya  rakyat  Singapura. Namun begitu, tahun demi tahun, reputasi Desaru sebagai pantai peranginan terkenal semakin pudar dan hampir dilupakan berikutan pembangunan destinasi-destinasi pelancongan yang lain.

 

Oleh itu, sebagai Menteri Pelancongan, saya menganggap bahawa kewujudan Kempen Zoom! Malaysia merupakan satu rahmat untuk saya berusaha mengembalikan kegemilangan Desaru sebagai pantai peranginan yang indah lagi terkenal.

 

Desaru mempunyai banyak kelebihan terutama dari segi warisan khazanah alam. Pantai Tanjung Balau yang menjadi tapak karnival pada hari ini merupakan antara pantai yang terindah di Malaysia. Kebersihan dan kecantikannya masih lagi terpelihara dan mampu mengundang ramai pengunjung sekiranya dipelihara dan dipromosikan dengan betul.

 

Pantai-pantai di Desaru yang menghadap Laut China Selatan ini akan menghasilkan ombak yang tinggi ketika musim monsun. Kita boleh mengambil peluang ini untuk mempromosikan Desaru sebagai destinasi untuk sukan luncur air atau surfing. Apatah lagi sukan ini sudah mula mendapat tempat di kalangan remaja-remaja tempatan.

 

Selain itu, negeri Johor terkenal dengan tempat-tempat bersejarah dan budaya dan kesenian tradisional yang tinggi nilainya. Saya percaya acara kesenian seperti kuda kepang dan tarian zapin mampu diketengahkan sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan di negeri ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada para penduduk supaya mengaktifkan semula warisan kesenian ini. Jadikanlah budaya kita sebagai sebahagian daripada produk pelancongan.

 

Di antara aktiviti utama karnival ini ialah Desaru Seafood Nite 2008. Saya yakin Desaru mampu menjadi salah satu destinasi hidangan laut yang popular setaraf dengan tempat-tempat lain seperti Kukup di Johor dan Umbai di Melaka.

 

Sesungguhnya, dari penyewa bot untuk memancing mahu pun melihat kunang-kunang di Sungai Lebam, penternak ikan air tawar mahu pun nelayan tempatan yang akan membekalkan ikan-ikan mereka untuk restoran-restoran hidangan makanan laut sehinggalah kepada pekerja resort dan penyewa perkhidmatan sukan air dan udara, kesemuanya bakal memperolehi keuntungan sekiranya aktiviti-aktiviti pelancongan di daerah ini dijalankan dengan lebih agresif dan aktif.

 

Saya yakin Desaru telah bersedia untuk menyambut para tetamu dari dalam dan luar negeri dengan menyediakan dan mempertingkatkan pelbagai produk pelancongan sama ada yang sedia ada mahu pun yang baru.

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan dan semua pihak yang telah bersama-sama membantu menjayakan karnival ini dan diakhiri dengan serangkap pantun.

 

 

Sungai Lebam air ditadah,

        Mandi di Semenchu indah kampungnya

Anugerah Tuhan kawasan kita indah

        Maju Desaru, makmur rakyatnya

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Karnival Zoom! Desaru ini.  Sekian, terima kasih.


%d bloggers like this: