Singapura perlu bersama atasi pencemaran

July 7, 2008 at 6:01 am

Oleh Maznah Mohd. Arsad

Dipetik dari : UTUSAN MALAYSIA

JOHOR BAHRU 6 Julai – Agensi penguatkuasa tempatan diminta berunding dengan kerajaan Singapura bagi mengatasi masalah pencemaran sisa minyak di Pengerang yang dilepaskan oleh kapal dagang yang mahu berlabuh di republik tersebut.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Shahbandar, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mengambil langkah tersebut sebelum pencemaran menjadi semakin serius dan tidak terkawal.

Beliau berkata, kerajaan Singapura juga wajar bertanggungjawab terhadap pencemaran yang berlaku di kawasan perairan dan pantai Pengerang sehingga menjejaskan mata pencarian lebih 2,600 nelayan dan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

“Pencemaran tersebut bukan sahaja memusnahkan ekosistem malah melumpuhkan industri pelancongan kerana beberapa kawasan di pantai itu yang berpotensi menjadi produk pelancongan serta mampu menarik pelancong domestik dan asing, turut tercemar.

“Berdasarkan pengamatan saya sejak akhir-akhir ini terutamanya lima tahun kebelakangan ini, ramai pelancong merungut kerana tidak dapat menikmati aktiviti pantai termasuk mandi-manda, meluncur, menyelam dan berkayak kerana pantai di situ dicemari sisa minyak dan sampah sarap,” katanya dihubungi di sini semalam.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Utusan Malaysia kelmarin mengenai tindakan kapal dagang melepaskan sisa minyak dan sampah-sarap di perairan Pengerang semasa dalam perjalanan berlabuh ke Singapura.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa berlarutan sejak 15 tahun lalu sehingga menjejaskan pendapatan lebih 2,600 nelayan di Pengerang berikutan ekosistemnya musnah akibat pencemaran.

Selain itu, ia turut melumpuhkan sektor pelancongan di Tanjung Punggai, Teluk Ramunia, Kampung Sungai Kapal, Batu Layar dan beberapa kawasan berhampiran kerana pantainya dicemari sisa minyak yang teruk.

“Saya mahu agensi penguatkuasa yang berkaitan mengambil serius masalah itu termasuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang terbabit.

“Sampai bila masyarakat khususnya nelayan boleh bertahan dengan keadaan seperti ini, perut mesti diisi, kalau macam ini alamat tidak berasap dapur mereka. Takkan asyik nak bergotong- royong sahaja kerana kos gotong- royong di laut lebih tinggi,” katanya.

Justeru, Azalina menggesa semua pihak agar jangan memandang sebelah mata masalah yang dihadapi oleh masyarakat Pengerang dan bersatu menanganinya.

“Nelayan ini merupakan golongan miskin, tak kan kita tergamak melihat mereka terus dihimpit kemiskinan sedangkan masyarakat lain dapat menikmati kehidupan yang serba mewah,” katanya.

Entry filed under: JejakAzalina. Tags: .

Kementerian Kenal Pasti Destinasi Pelancongan Di Seluruh Negara Azalina Beri Cenderamata di KLIA


Kami Amat Menghargai

Kalendar Jejak

July 2008
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Pautan

Feeds


%d bloggers like this: