Kempen MyTaxi bentuk sahsiah

June 18, 2008 at 5:41 am

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan tidak menafikan lima peratus pemandu teksi tidak berhemah melaksanakan tugas menyebabkan industri pelancongan di negara ini terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebaik mendarat melalui pengangkutan udara, air atau darat, orang pertama yang akan berurusan dengan pelancong adalah pemandu teksi.

Beliau berkata, pemandu teksi memainkan peranan sebagai pembentuk imej kepada Malaysia, sekiranya layanan diberikan buruk, sekali gus menunjukkan Malaysia tidak mempunyai nilai kesopanan yang tinggi.

“Begitu juga dengan tahap kebersihan teksi itu sendiri, pelancong akan memberikan gambaran Malaysia tidak mengamalkan budaya bersih dalam kehidupan seharian.

“Dengan itu, Kempen Mytaxi yang baru dilancarkan ini sebagai cara membentuk sahsiah diri pemandu teksi supaya lebih cemerlang dalam menjalankan tugas dengan mengamalkan lima prinsip, iaitu berhemah, ramah, bersih, amanah dan berpengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Mytaxi, di Pusat Penerangan Pelancongan, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr Ong Hong Peng; Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Mirza Taiyab dan Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa, Datuk Aslah Abdullah.

Azalina berkata, kempen itu akan diadakan setiap Selasa bermula semalam selama lima minggu sebagai penanda aras mengenal pasti permasalahan yang dihadapi pemandu teksi sebelum kemuncak kehadiran pelancong Asia Barat dengan sasaran 400,000 orang.

Katanya, tahun lalu, seramai 340,000 pelancong dari rantau berkenaan mengunjungi Malaysia, justeru kempen Mytaxi diharapkan memanfaatkan pelancong dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan.

“Sektor pelancongan menyumbang RM46 bilion kepada sumber pendapatan negara tahun lalu dan mereka yang terbabit dalam industri ini perlu memainkan peranan bagi memastikan lebih ramai pelancong ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ong berkata, kementerian turut menyambut baik saranan kerajaan mengurangkan 10 peratus perbelanjaan menguruskan bekalan dan perkhidmatan kepada kakitangan, termasuk mengehadkan penganjuran kursus dan seminar di hotel, sebaliknya diadakan di jabatan masing-masing.

“Sebarang majlis yang membabitkan kementerian juga hanya akan dilaksanakan di Pusat Penerangan Pelancongan bagi mengurangkan perbelanjaan membayar kos hotel yang agak mahal,” katanya.

Ketika ditanya tindakan itu akan mengurangkan pendapatan pengusaha hotel, katanya, pihaknya akan membuat kajian dan perbincangan dengan mereka dalam menangani masalah berkenaan.

Entry filed under: JejakAzalina. Tags: .

Pelancaran ‘Mega Sale’ 2008 MICE Meeting


Kami Amat Menghargai

Kalendar Jejak

June 2008
M T W T F S S
« May   Jul »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Pautan

Feeds


%d bloggers like this: