Negara Komanwel Enggan Menyumbang Kepada Perbelanjaan CTC Selepas 2010
November 13, 2008
12 November, London – Negara-negara Komanwel hari Rabu yang lalu, membuat keputusan untuk tidak menyumbang kepada pembiayaan perbelanjaan Commonwealth Tourism Centre (CTC) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur selepas tahun 2010. Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata ini kerana mereka menganggap pusat itu sebagai satu beban kepada mereka dan merasakan United Nation Tourism Organisation adalah badan yang terbaik untuk urusan pelancongan.
“Kita tak kisah laksanakan komitmen hingga 2010 jika mereka setuju memberikan komitmen (sumbangan), masalahnya mereka tak hendak menyumbang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ketiga Menteri Pelancongan Komanwel di Marlborough House di sini.
Azalina berkata kerajaan telah menghabiskan sebanyak RM5.1 juta untuk membuka pejabat dan menjalankan operasi serta aktiviti CTC dan dianggarkan sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan kepada pusat itu tahun depan.
Berdasarkan Terma Rujukan, kerajaan Malaysia bersetuju untuk menanggung perbelanjaan pusat itu untuk dua tahun lagi sehingga 2010.
Beliau berkata keputusan mesyuarat hari ini akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri dan kabinet untuk tindakan lanjut.
Azalina berkata Malaysia tidak kecewa dengan keputusan mesyuarat hari ini bahkan gembira kerana Malaysia boleh memfokuskan semula fungsi CTC dan menunjukkan kebolehan dalam mempromosikan pelancongan negara.
“Bagi saya kita memang melihat keputusan ini sebagai satu keputusan yang akan menguntungkan Malaysia kerana ia akan membolehkan Malaysia mewujudkan kebolehan dalam pasaran baru sebab selama ini kita terikat dengan komitmen kepada mereka, bebankan kita dan kita amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Mungkin kita boleh melihat negara-negara Islam, saya cukup berminat tentang itu.
Lebih elok kita fokus juga kepada pengalaman dan kebolehan Malaysia untuk menjayakan aspek pelancongan di pasaran baru muncul India dan China,” katanya.
CTC diwujudkan pada 3 Jan 2006 di Kuala Lumpur berdasarkan kepada keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Menteri Pelancongan Komanwel Pertama dan Kedua pada 2004 dan 2005.
Antara aktiviti yang dianjurkan CTC adalah mengadakan kursus latihan untuk pembangunan insan dan pertukaran maklumat selain seminar dan mewujudkan e-portal pelancongan negara Komanwel.
Azalina berkata selain isu CTC, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai cabaran ekonomi dunia dalam sektor pelancongan, antaranya mereka turut bersetuju dengan pendekatan kepada pelancongan domestik, eko pelancongan dan syarikat penerbangan perjalanan serantau.
Mesyuarat sehari itu turut dihadiri 33 Menteri Pelancongan negara Komanwel lain dan empat organisasi Komanwel termasuk Commonwealth Business Council, Commonwealth Policy Studies Unit dan CTC.
Entry Filed under: 1. Tags: Commonwealth Business Council, Commonwealth Policy Studies Unit, Commonwealth Tourism Center, CTC, Kabinet, Kuala Lumpur, Marlborough House, Negara Komanwel, United Nation Tourism Organisation.


Trackback this post | Subscribe to the comments via RSS Feed