Kekurangan penerbangan MAS dibawa ke mesyuarat Kabinet
November 12, 2008
11 November, London – Kementerian Pelancongan akan membawa isu kekurangan penerbangan dari Kuala Lumpur ke London oleh syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Kabinet Jumaat ini, bagi membolehkan pelancong dari London dan Eropah menggunakan pesawat syarikat itu ke Malaysia. Menteri Pelancongan, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, langkah MAS mengurangkan jumlah penerbangan itu turut memberi kesan kepada sektor pelancongan yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong asing melawat destinasi menarik di Malaysia.
Menurut beliau, jika dibandingkan dengan Syarikat Penerbangan Singapura (SIA), mereka mempunyai fasiliti dengan frekuensi penumpang lebih banyak dari MAS.
”Ketika ini harga minyak mentah dunia telah turun dan peluang ini perlu direbut oleh MAS untuk menambahkan kembali jumlah penerbangan dari Kuala Lumpur ke London,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan Tapak Pameran Malaysia yang dikenali sebagai Malaysia Pavilion sempena Pameran Pasaran Pelancongan Dunia di Pusat Konvensyen Excel di sini hari ini.
Difahamkan jumlah penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke London ketika ini antara 10 hingga 12 kali seminggu berbanding sebelum ini iaitu 14 penerbangan.
Azalina berkata, beliau juga turut menerima aduan mengenai kualiti perkhidmatan dan fasiliti pesawat syarikat penerbangan itu kepada para penumpang.
Katanya, masalah itu sepatutnya tidak boleh berlaku memandangkan MAS telah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Kabin Terbaik sebelum ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia atau penduduk London memilih penerbangan dari negara jiran kerana kurang berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan.
”Banyak cerita yang saya dengar mengenai MAS seperti harganya mahal berbanding dengan syarikat penerbangan lain yang lebih murah.
”Saya juga dimaklumkan mengenai perkhidmatan yang kurang baik seperti kerusi yang tidak boleh dibaringkan dan banyak yang tidak seperti dulu,” jelasnya.
Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan langkah-langkah perlu dilakukan dengan segera.
Entry Filed under: 1. .


Trackback this post | Subscribe to the comments via RSS Feed